Cabaran Perjalanan "Blowpipe Run"

Istilah Blowpipe Borneo (BPR) membawa maksud ‘Larian Sumpit’ jika ianya diterjemahkan secara langsung ke Bahasa Malaysia. Walaupun begitu, terjemahan itu tidak berapa tepat, terutamanya kerana Blowpipe Run Borneo ini bukanlah suatu larian per se. Sebaliknya, ianya adalah merupakan sebuah perjalanan yang berunsur cabaran daya ketahanan. Blowpipe Run ini merangkumi jarak sejauh 1300KM dari Kuching, Sarawak ke Kota Kinabalu, Sabah (atau sebaliknya). Apa yang lebih menarik dan mencabar ialah syarat utama Blowpipe Run iaitu ride tersebut mestiah dilengkapkan di dalam hari kalendar atau tarikh yang sama (penjelasan lebih mendalam mengenai syarat ini akan menyusul). Sama juga seperti tunggangan Ketahanan Iron Butt, Blowpipe Run adalah sangat memenatkan dan sukar. Ia memerlukan sesiapa sahaja yang mencubanya untuk sentiasa memberi tumpuan secara penuh, terutama sekali kerana ianya berlangsung di Borneo!

Cabaran Perjalanan Blowpipe Run

Pengasasnya

Alex Stmrock Wong, seorang anak jati Sarawak yang mempunyai pelbagai bakat, telah mengasaskan BPR pada tahun 2011. Beliau terkenal dengan bermacam-macam pencapaian yang mengagumkan di dalam berbagai bidang, termasuk dinobatkan sebagai jaguh piala dunia jet ski tahun 1998, seorang peminat tegar motosikal dan juga seorang usahawan perniagaan yang berjaya. Alex telah mula mendapat idea untuk menubuhkan BPR ketika dia sedang melakukan penjelajahan menaiki skuter dari bandar Kuching ke Tawau. Beliau juga merupakan orang pertama yang telah melakukan dan seterusnya berjaya melengkapkan Blowpipe Run.

Alex Wong dari Kuching Sarawak
Alex Stmrock Wong bergambar bersama motosikal BMW-nya. Foto ihsan: Alex Stmrock Wong

Apa Itu Blowpipe?

Blowpipe, atau ‘sumpit’ dalam Bahasa Malaysia, merupakan sebuah senjata tradisional yang digunakan untuk tujuan memburu. Ianya sering digunakan oleh penduduk asal bumi Borneo. Itulah sebab mengapa Alex Stmrock Wong memilih untuk menggunakan istilah tersebut.

Seorang lelaki suku kaum Dayak menunjukkan cara yang betul untuk menggunakan sumpit.
Seorang lelaki suku kaum Dayak menunjukkan cara yang betul untuk menggunakan sumpit. Kredit foto: Wellcome CollectionCC OLEH

Cabaran Yang Mungkin Anda Hadapi

  • Perjalanan berjarak jauh lebih kurang 1300KM dalam masa hanya 24 jam.
  • Keadaan jalan yang tidak berapa baik.
  • Keadaan cuaca tidak menentu.
  • 9 Pos pemeriksaan (checkpoint) imigresen yang perlu ditempuhi dalam tempoh masa yang terhad.
  • Stesen minyak yang terhad.
  • Kemungkinan menjadi sesat.

Mengapa Seseorang Itu Hendak Melakukan Blowpipe Run?

Persoalan ini selalu bermain-main di minda masyarakat umum apabila mendapat tahu tentang kewujudan Blowpipe Run ataupun apabila bertemu dengan seseorang yang mempunyai niat untuk melakukannya. Mengapakah seseorang itu sanggup bersusah payah merancang laluan perjalanan, bertungkus-lumus bersiap sedia dengan pelbagai peralatan dan kemudian menunggang motosikal/memandu kereta sejauh beribu-ribu kilometer dalam masa yang teramat singkat? Salah satu motivasi yang mungkin ialah perasaan kepuasan peribadi yang akan dapat diraih oleh seseorang individu setelah dia berjaya dan selesai menyahut cabaran yang ditampilkan oleh Blowpipe Run. Selain itu, individu yang berjaya juga akan mendapat pengiktirafan daripada para sahabat seperjuangannya.


Peraturan dan Undang-undang Blowpipe Run

  1. Penunggang/pemandu yang ingin melakukan Blowpipe Run boleh memulakan perjalanannya samada dari Kuching ke Kota Kinabalu atau sebaliknya dari Kota Kinabalu ke Kuching.
  2. Perjalanan itu hendaklah bermula atau tamat (bergantung kepada arah perjalanan) di Tugu Kucing di bandaraya Kuching ataupun di Tugu Ikan Todak (Marlin) di Kota Kinabalu.
  3. Foto penunggang/pemandu tersebut bersama motosikal/kenderaannya perlu diambil di titik permulaan dan titik penamat perjalanan, bersama dengan beberapa foto tambahan yang harus diambil sepanjang laluan perjalanan yang seboleh-bolehnya mempunyai tempat mercu tanda (landmark) ataupun papan tanda yang menunjukkan nama tempat dengan jelas. Gambar-gambar ini hendaklah menunjukkan tarikh dan masa ianya telah diambil. Ini membolehkan pengesahan cubaan BPR tersebut dilakukan dengan mudah selain daripada membantu rakan-rakan dan peminat motosikal yang lain untuk berkongsi keseronokan yang dialami. Dengan cara ini mereka juga boleh menyelaraskan rombongan sambutan di beberapa lokasi sepanjang laluan perjalanan bagi memberi semangat dan sokongan mental yang padu kepada calon penunggang/pemandu yang sedang melakukan BPR tersebut.
  4. BPR itu hendaklah diselesaikan dalam tarikh ataupun hari kalendar yang sama dan bukannya dalam masa 24 jam sahaja. Secara lebih khusus, BPR yang melangkaui jam 12 tengah malam akan menjadi tidak sah.
  5. Sebarang jenis motosikal/motosikal beroda tiga (trike) mahupun kereta (tidak kira kapasiti enjinnya) boleh digunakan.
  6. Penumpang ataupun pembonceng adalah tidak dibenarkan sama sekali. Ini kerana kehadiran penumpang/pembonceng membolehkan pembahagian tugas-tugas dilakukan dimana ianya dapat menjimatkan masa secara tidak adil. Sebagai contoh: penumpang/pembonceng boleh pergi membuat bayaran untuk minyak dan membeli makanan ringan/minuman sementara penunggang/pemandu melakukan persiapan-persiapan mekanikal yang perlu.
  7. Penunggang/pemandu tidak digalakkan memandu atau membawa motosikal secara cuai dan melulu. Mohon berhati-hati dan bertindak dengan sopan sambil mematuhi peraturan-peraturan jalanraya semasa percubaan untuk melakukan BPR.
  8. Data mengenai percubaan BPR setiap penunggang/pemandu akan direkodkan di laman Facebook Borneo Motorcycle Group halaman.
  9. Calon BPR digalakkan untuk menggunakan ciri perkongsian lokasi melalui aplikasi Google Maps ataupun Whatsapp supaya ahli kumpulan serta rakan-rakan yang lain boleh mengesan dan sekaligus memantau kedudukan terkininya.
  10. Berkuatkuasa mulai tahun 2016, calon yang mengisytiharkan dan memulakan BPR mereka sebagai sebahagian daripada suatu kumpulan, maka mereka juga wajib melengkapkan BPR itu sebagai suatu kumpulan yang lengkap. Sekiranya salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut gagal untuk menyelesaikan BPR oleh kerana DNF (Did Not Finish) atau DNQ (Did Not Qualify), justeru itu kesemua ahli-ahli lain kumpulan itu juga akan diklasifikasikan sebagai DNF/DNQ dan seterusnya akan dilucutkan kelayakan.
  11. Peraturan untuk solo ride menuntut agar dua (atau lebih) orang penunggang/pemandu berlepas pada jarak masa selama 10 minit daripada satu sama lain. Tujuannya adalah untuk memastikan supaya mereka tidak dapat memanfaatkan kelebihan bantuan berkumpulan.
  12. Untuk ride berkumpulan dimana terdapat dua atau lebih motosikal daripada kategori berlainan, peraturan BPR menyatakan bahawa mereka akan tertakluk kepada syarat-syarat BPR untuk motosikal yang mempunyai cc enjin yang terbesar di dalam kumpulan tersebut. Contohnya, dua motosikal 650cc & 125cc yang berada dalam satu kumpulan akan dikategorikan sebagai BPR Open, manakala kumpulan yang terdiri daripada jentera 500cc & 250cc akan ditempatkan di dalam kategori BPR2.

Kategori-kategori Blowpipe Run

  • BR1: Moto GP / 1000cc +
  • BR2: Moto 2 / 600cc dan ke bawah
  • BR3: Moto 3 / 250cc dan ke bawah
  • BR Cub: Cub Prix / 125cc dan ke bawah
  • BR W3: Sebarang kenderaan beroda tiga (trike) yang diperbuat secara komersial mahupun yang telah diubahsuai (customized)
  • BR W4: Kereta

Nota: Kesemua kategori di atas telah dikemaskini oleh Jawatankuasa BPR baru-baru ini.


Bagaimana cara untuk memulakan Blowpipe Run?

  • Sertai Borneo Motorcycle Group di Facebook.
  • Patuhi kesemua peraturan dan undang-undang BPR yang telah tersenarai di atas.
  • Mulakan perjalanan anda samada dari Kuching, Sarawak (Tugu Kucing ) atau dari Kota Kinabalu, Sabah (Tugu Ikan Todak (Marlin)).
  • Buat suatu pengumuman dan hantarkannya ke laman Facebook Borneo Motorcycle Group berpandukan format di bawah:
  • !!Pengumuman Blowpipe Run!!
    • Penunggang/pemandu: Chris (sertakan nama-nama calon yang lain jika anda berkumpulan).
    • Jentera: Benelli TRK 502
    • Kategori: BR 2
    • Negara: Malaysia
    • Tarikh: 1hb Januari 2020
    • Arah: Kuching (Patung Kucing) ke Kota Kinabalu (Patung Merlin).
    • Anggaran masa berlepas (ETD): 0100 (AM)
    • CC: (tag ahli jawatankuasa BPR) - Alex Stmrock Wong, Malinda Nataniel, ZaiBrunei PH Ahmad, Shahroll Hajuan & Aki Anis.
  • Ambil foto semasa anda berada di titik permulaan perjalanan dan pastikan cap masa (timestamp) foto tersebut dapat dilihat. Kemudian, hantarkan status dan lokasi terkini anda sepanjang perjalanan di ruangan komen hantaran status anda itu.
  • Sesudah selesainya Blowpipe Run anda, ambil foto anda di titik tamat perjalanan dan pastikan cap masa foto itu kelihatan. Sekali lagi, buat hantaran pengemaskinian BPR anda di ruangan komen hantaran status yang telah disebut di atas.
Tugu Kucing di Kuching
Tugu Kucing di Kuching, Sarawak
Tugu Ikan Todak di Kota Kinabalu
Tugu Ikan Todak di Kota Kinabalu, Sabah

Peta Informasi Blowpipe Run Borneo

Peta di bawah ini menunjukkan laluan perjalanan dari Kuching ke Kota Kinabalu (dan sebaliknya) lengkap dengan butir-butir mengenai stesen minyak dan lain-lain maklumat yang berguna. Peta ini juga menunjukkan lencongan yang patut dilalui sekiranya mahu mengelakkan laluan yang sesak dengan trafik di kawasan bandar-bandar utama. Klik sahaja pada Google Map di bawah ini yang telah dihasilkan oleh saudara Azrul Azmil Perali.

Peta maklumat perjalanan blowpipe Borneo

Lintasan Sempadan Brunei

Untuk melengkapkan BPR, anda harus merentasi negara Brunei dan keseluruhannya terdapat 9 tempat sekatan pemeriksaan (checkpoint) imigresen yang anda perlu lalui, dimana pada setiap satunya anda hendaklah mengecap pasport anda serta mengimbas kod QR (hanya di sebelah negara Brunei). Ini kerana Brunei terbahagi kepada dua bahagian oleh daerah negeri Sarawak iaitu Limbang. Orang tempatan memanggil dua pecahan tersebut sebagai Brunei Besar dan Brunei Kecil. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kaedah terperinci untuk melintasi masuk ke dalam dan juga keluar dari Brunei, anda boleh membaca artikel di sini yang ditulis berpandukan pengalaman saya melakukan jelajah kembara bermotosikal solo di Borneo.

Lintasan sempadan Brunei

Bagaimana cara untuk saya dapatkan lencana Blowpipe Run?

Lencana blowpipe run
Lencana Emas Blowpipe Run

Lencana ini akan diberikan oleh ahli Jawatankuasa BPR kepada setiap calon graduan yang telah melengkapkan Blowpipe Run dengan jayanya. Sila ambil maklum bahawa era lencana berwarna emas ini akan berakhir dan digantikan kepada lencana berwarna perak sebaik sahaja Jambatan Temburong dibuka secara rasmi oleh Sultan Brunei. Maklumat lanjut boleh didapati di sini.


Penghantaran Kereta/Motosikal ke Sabah atau Sarawak

Jika anda daripada Semenanjung Malaysia, anda boleh menghantar kenderaan anda ke Sabah ataupun Sarawak dengan menggunakan perkhidmatan kapal RoRo. Maklumat lebih lanjut mengenai ini boleh didapati di sini.


Konklusi

Setelah bertahun-tahun saya menunggang motosikal di atas jalanraya, apa yang saya boleh katakan ialah kebanyakan daripada mereka tidak hiraukan langsung akan kehadiran anda di atas jalan. Jadi, janganlah menunggang motosikal anda dengan terlalu laju, patuhi segala undang-undang jalanraya dan apabila anda terasa penat, BEREHATLAH. Jika anda tidak dapat melengkapkan cubaan Blowpipe Run anda, jangan risau kerana anda masih boleh mencuba lagi untuk menyahut cabaran BPR pada masa hadapan. Jangan lupa bahawa keletihan yang melampau memberi kesan negatif kepada keadaan mental serta koordinasi pergerakan otot anda. Ini ada potensi untuk menyebabkan kemalangan, atau lebih teruk lagi, mengundang maut.

Pernahkah anda melakukan cabaran Blowpipe Run ini? Kongsikan pengalaman anda di ruangan komen dibawah.


Penafian: Artikel ini hanya bertujuan untuk mengongsi maklumat tentang Blowpipe Run. Sekiranya terdapat sebarang percanggahan, lebih wajar jika anda merujuk kembali kepada pihak Borneo Motorcycle Group. Anda mungkin juga berminat membaca laluan motosikal terbaik di Malaysia.


Jangan ketinggalan!
Suka Blog Saya?
Langgan blog ini (percuma) dan terima pemberitahuan mengenai catatan baru melalui e-mel.
alamat email tidak sah
Anda boleh berhenti melanggan pada bila-bila masa.
tetamu
9 Komen
Maklum Balas Sebaris
Lihat semua komen